DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Sunday, 5 May 2013

PELAKSANAAN AKTIVITI PRABACAAN

Contoh Aktiviti 2-(Aktiviti Pergerakan Jari, Tangan dan Mata)

Aktiviti ini dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan kognitif murid-murid.Jari-jari dan tangan mereka perlu dilatih untuk memudahkan mereka memegang pensel dan alatan seumpamanya apabila mula menulis nanti.Pelbagai aktiviti boleh dirancang oleh guru yang melibatkan pergerakan jari, tangan dan mata bagi membiasakan mereka dengan aktiviti menulis.


Tajuk : Membuat bentuk kuih-muih menggunakan doh tepung.
Bahan Bantu Belajar : Doh tepung, benda maujud beberapa jenis kuih-muih.

Objektif:
1.Melatih pergerakan jari dan tangan serta koordinasi mata sebelum mula menulis.
2.Membina kreativiti murid-murid agar dapat menghasilkan bentuk yang menarik.
3.Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai aktiviti yang diberikan.

  Aktiviti:
1.Kelas dibahagikan kepada kumpulan kecil, bertiga atau berempat sekumpulan.

2.Setiap kumpulan murid-murid diberikan doh tepung pelbagai warna.

3.Murid-murid melihat dan menyebut nama kuih-muih (bahan maujud) yang ditunjukkan guru.

4.Murid-murid memerhatikan demonstrasi oleh guru, cara membuat kuih karipap, donat dan kek menggunakan doh mengikut langkah ansur maju.

5.Murid-murid membentuk kuih-muih daripada doh seperti yang ditunjukkan dengan bantuan / bimbingan guru.


PELAKSANAAN AKTIVITI PRABACAAN

Contoh Aktiviti 1. ( Aktiviti Pengamatan Penglihatan )

Aktiviti pengamatan penglihatan bertujuan untuk melatih keupayaan mata murid-murid mengecam, membeza dan membandingkan bentuk-bentuk, gambar, benda-benda maujud dan sebagainya mengikut jenis, warna, saiz dan seumpamanya.Aktiviti ini merupakan asas penting untuk murid-murid sebelum mereka diperkenalkan dengan huruf.


Tajuk: Pergerakan mata dari kiri  ke kanan
Bahan bantu belajar: Benang bulu (satu meter sekumpulan)

Objektif:
1.Mengesan murid-murid yang mempunyai masalah penglihatan.
2.Menyediakan murid-murid dengan latihan penglihatan yang baik.
3.Melatih pergerakan mata murid-murid untuk bersedia membaca dengan pergerakan mata yang betul.

Aktiviti

1.Murid-murid duduk membentuk separuh bulatan menghadap guru.

2.Murid-murid mengangkat tangan kanan serta melakukan pergerakan dari kiri ke kanan.Semasa membuat pergerakan tangan, mata murid-murid hendaklah mengikut arah gerakan tangan tersebut.
(Lakukan aktiviti ini berulang-ulang kali secara kelas, kumpulan kecil dan individu)

3.Kemudian murid-murid memerhati garisan berwarna yang dibuat oleh guru mengikut arah kiri ke kanan di papan tulis.

4.Murid-murid melakukan aktiviti membuat garisan di udara mengikut pergerakan guru berulang kali.

5.Aktiviti ini juga boleh dibuat secara berpasangan.Murid  A akan menggerakkan jarinya dari kiri ke kanan dan murid B mengikut pergerakan yang dibuat dengan pergerakan mata.Mereka betukar-tukar peranan.

6.Murid-murid diberikan keratan benang bulu satu meter sekumpulan.Benang itu ditegangkan di atas meja dan ahli kumpulan membuat penglihatan dari kiri ke kanan.

7.Murid-murid dibimbing menggunakan pergerakan mata dengan alatan yang terdapat di dalam kelas.Antaranya, guru meminta murid-murid menggerakkan mata untuk melihat dari penjuru atas sebelah kiri papan tulis ke penjuru atas sebelah kanan papan tulis.Melihat dari sisi kiri meja ke sisi kanan meja.Dan melihat dari kiri ke kanan pagar/ tembuk/ tiang lampu di kawasan luar kelas.

Tuesday, 30 April 2013

BAHAN BANTU BELAJAR ( 2 )



Mari Menyanyi












LEMBARAN KERJA ( 1 )


Contoh-contoh lembaran kerja untuk latihan pra tulisan





Contoh lembaran kerja untuk mata pelajaran Matematik







MODIFIKASI TINGKAH LAKU MURID-MURID DISLEKSIA

Implikasi Modifikasi Tingkah laku Terhadap Proses Pengajaran dan Pembelajaran
  1. Suasana pengajaran dan pembelajaran yang sihat akan dapat diwujudkan.
  2. Membantu murid mengubah tingkah laku negatif dan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran.
  3. Masa akan dapat dijimatkan kerana guru tidak perlu mengendalikan kes salah laku.
  4. Standard tingkah laku murid seragam kerana tiada unsur pilih kasih.Semua murid dikehendaki mematuhi peraturan yang sama.
  5. Objektif guru untuk meningkatkan pencapaian akademik akan tercapai.
  6. Keharmonian murid-murid di dalam sesebuah kelas akan ditingkatkan kerana gangguan dapat dikurangkan melalui modifikasi tingkah laku.
  7. Membentuk tingkah laku positif (fizikal, mental, emosi dan sosial)
  8. Meningkatkan motivasi kendiri serta disiplin arahan kendiri
  9. Membentuk murid yang berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berakhlak mulia. 
Aliran Proses Menjalankan Modifikasi Tingkah Laku
  1. Menetapkan matlamat tingkah laku yang betul harus ditunjukkan oleh murid.
  2. Mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh seseorang murid.
  3. Menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah diperbaik atau diperbetul.
  4. Memodifikasikan tingkah lakunya sehingga murid tidak mengharapkan ganjaran ekstrinsik dan menunjukkan tingkah laku yang betul kerana motivasi instrinsiknya.
  5. Mengenal pasti tingkah laku.
  6. Merekod kekerapan tingkah laku yang hendak diubah.
  7. Jenis tindakan yang akan dikenakan.
  8. Penilaian.


Contoh-contoh Modifikasi Tingkah Laku

1.Dendaan
  • Guru memarahi murid.
  • Murid diberi amaran.
  • Hukuman yang dibayar dengan membuat kerja di sekolah seperti mengutip sampah atau mencuci tandas.
  • 'Time Out' sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.
  • Dihantar ke bilik Guru Besar.
  • Ibu bapa murid dikehendaki hadir ke sekolah untuk membincangkan masalah anak mereka yang menunjukkan tingkah laku bermasalah.
2. Psikologi Songsang (Reverse Psychology)
  • Menggunakan psikologi untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif.
  • Memerlukan kemahiran guru memahami psikologi murid serta mengenal pasti sikap, pandangan dan pemikiran dalamannya.
3.Shaping
  • Proses pembentukan tingkah laku yang diingini melalui beberapa peneguhan diberi secara beransur-ansur terhadap tindak balas yang diharapkan.
  • Guru perlu menetapkan matlamat tingkah laku yang spesifik yang perlu dicapai oleh murid.Contohnya, murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah iaitu selalu bergerak di dalam bilik darjah, guru boleh menetapkan matlamat tingkah lakunya sebagai "berhenti bergerak di dalam bilik darjah".
4.Token Ekonomi
  • Sistem untuk membahagikan beberapa peneguh simbolik yang akan ditukarkan kepada pelbagai peneguh yang sebenar yang diingini.
  • Sistem merit ditentukan berdasarkan kriteria respons terhadap tingkah laku yang diingini.
  • Markah merit (token) yang dikumpulkan boleh ditukarkan seterusnya dengan peneguhan yang diingini.
5.Kontrak (Lisan dan Bertulis)
  • Cara yang berkesan untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif.
  • Murid-murid mesti menandatangani kontrak ini dan jika mereka melanggar kontrak, mereka perlu menjalani hukuman yang dinyatakan dalam kontrak tersebut.
  • Semua penerangan ganjaran atau hukuman yang akan diberikan akan dinyatakan dalam kontrak.
  • Perlu ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak (guru dan murid)
6. Kawalan Kendiri
  • Menentukan tingkah laku yang ingin dimodifikasikan.
  • Mengumpulkan data:
               -Mengenal pasti antesident kawalan.
               -Menentukan respon peringkat awal.
               -Mengenal pasti akibat kawalan.
  • Merancang program, tindakan, iaitu memilih strategi untuk menambah atau mengurangkan kekuatan respon.
  • Implemen dan menilai program.
  • Penutup: Menamatkan program.
7. Peneguhan Kendiri (Motivasi Instrinsik)
  • Pemerhatian
  • Menetapkan piawai tingkah laku diri.
  • Menilai diri.
  • Memperoleh kepuasan dirinya.
8. Modeling (Modifikasi tingkah laku melalui ubah suai luaran)
  • Pemerhatian dan peniruan.
  • Dipelajari melalui bahasa dan teladan.
  • Meniru kemahiran daripada kecekapan demontrasi modelnyadan dapat menguasai kemahiran itu jika memperoleh kepuasan dan peneguhan.
  • Meliputi pemerhatian, ingatan, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai.  

PENGEKALAN DAN PENINGKATAN TINGKAH LAKU YANG DIINGINI

Beberapa pendekatan boleh dilaksanakan, antaranya :

A. Memberi Ganjaran
  • Pemenang pingat mingguan.
  • Bagi murid-murid yang usianya masih muda boleh diberikan pelekat.
  • Membina carta bintang untuk murid-murid yang masih muda.
  • Memberikan pujian seperti memberitahu murid-murid yang lain atau menghebahkan nama murid dalam perhimpunan. 
B. Mengucapkan Kata-kata Pujian Dalam Peneguhan Sosial
  • "Saya suka akan cara anda belajar dalam aktiviti kumpulan".
  • "Sangat bagus, itu adalah satu soalan yang baik".
  • Guru mesti selalu memberikan pujian bersama ganjaran yang berbentuk materialistik (hadiah atau barang maujud) sehingga murid hanya ingin menerima pujian sahaja (motivasi instrinsik).Harus diingat, modifikasi  tingkah laku yang berjaya dapat dilihat apabila murid dapat menyesuaikan diri dan berfungsi di dalam bilik darjah tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran ekstrinsik.  

PENGURUSAN TINGKAH LAKU MURID-MURID DISLEKSIA

Pengertian 
-Satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke arah matlamat yang telah ditetapkan dengan kaedah-kaedah dan teknik-teknik yang sesuai.


Peranan Guru
  • Memodelkan tingkah laku yang positif.
  • Menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan.
  • Memperbetul tingkah laku murid yang salah dengan menunjukkan mereka tingkah laku yang betul.
  • Mengajar murid-murid kemahiran baharu dan tingkah laku betul yang harus ditunjukkan oleh mereka.
  • Memperbetul semua tingkah laku bermasalah dan belajar respons-respons alternatif yang boleh diterima dalam satu persekitaran sosial.
  • Guru mesti meneguhkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid secara konsisten dan tetap untuk memastikan kejayaan sesuatu program pengurusan tingkah laku.
  • Mengubah tingkah laku negatif atau salah laku murid yang dikesan di dalam bilik darjah kepada tingkah laku positif.
  • Menyelesaikan tingkah laku bermasalah yang berlaku demi membentuk iklim bilik darjah yang berdisiplin serta kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

BAHAN BANTU BELAJAR ( 1 )

Kisah dan Teladan



HASIL TULISAN MURID-MURID MASALAH PEMBELAJARAN

Beberapa Contoh Hasil Tulisan Murid-murid Masalah Pembelajaran















BAGAIMANA MURID-MURID MASALAH PEMBELAJARAN MENULIS


Beberapa Contoh Posisi Tangan dan Jari Murid Semasa Menulis

















Schneck dan Henderson (1990) telah mencipta skala perkembangan yang menerangkan genggaman pensel tipikal yang dapat dimanfaatkan oleh kanak-kanak tipikal. 





Rajah 1: Ilustrasi Definisi Operasi bagi Postur Genggaman dalam Urutan Pembangunan (Sumber: Schneck & Henderson 1990)


Berdasarkan Rajah 1, perkembangan jenis-jenis genggaman yang tidak matang ialah dari (a) hingga (h) dan jenis-jenis genggaman yang matang ialah (i) dan (j).


Penerangan jenis-jenis genggaman seperti rajah di atas adalah:

 (a) genggaman jejari silang 
 (b) genggaman supinate tapak tangan
 (c) genggaman pronate digital, hanya jari dilanjutkan
 (d) genggaman berus
 (e) genggaman denganlanjutan jari
 (f) genggaman ibu jari silang
 (g) genggaman tripod statik
 (h) genggaman empat jari
 (i) genggaman tripod lateral
 (j) genggaman tripod dinamik.


Sunday, 28 April 2013

AKTIVITI-AKTIVITI KEMAHIRAN MENGEJA


1.Membina perkataan berirama (sama ada pada pangkal, tengah atau hujung suku kata atau kata).
Contoh : la gu  la  ku  la  lu  la  bu  la  yu
2.Mendiskriminasi perkataan.
3.Melengkapkan atau menambah perkataan.
4.Membina perkataan dalam perkataan.
5.Membina perkataan daripada huruf-huruf dalam perkataan.
6.Mengelaskan perkataan mengikut jenis atau keluarga.
7.Mencari perkataan berlawan, berganda dan jantina.
8.Permainan teka teki.
9.Permainan silang kata.

KEMAHIRAN MENGEJA

Punca murid-murid lemah dalam ejaan.

1. Lemah dalam ingatan penglihatan.


  • Tidak dapat mengingat atau membayangkan bentuk sebenar sesuatu perkataan.
  • Masalah penglihatan seperti rabun dan juling.


2. Lemah dari segi analsis pendengaran.


  • Tidak dapat menentukan lambang yang mewakili bunyi.
  • Tidak boleh mengecam (mendengar) bunyi-bunyi yang terlibat dalam perkataan.
  • Tidak dapat memilih lambang-lambang secara rawak.
  • Kemungkinan lemah dalam bacaan. 

CARA-CARA MENGATASI MASALAH TULISAN MURID-MURID DISLEKSIA



  • Berikan bantuan dan latihan yang banyak secara individu. 
  • Beri latihan dan pengukuhan yang secukupnya dalam peringkat permulaan dan asas.
  • Beri penerangan, tunjuk cara serta contoh-contoh yang jelas dan betul sesuai dengan tahap keupayaan murid secara individu supaya dapat diikuti dengan mudah.
  • Guru adalah model atau contoh yang menjadi ikutan murid-murid.Tulisan dan cara guru menulis akan disalin atau diikuti oleh murid-murid.Justeru, guru perlu tulis dengan teliti dan betul. 
  • Kad-kad tulisan dan lembaran-lembaran kerja bertulis perlulah disediakan dengan sempurna.
  • Motivasi murid agar kurangkan penggunaan getah pemadam.

MASALAH TULISAN MURID-MURID DISLEKSIA


  • Perkataan-perkataan ditulis terlalu rapat antara satu sama lain.
  • Bentuk-bentuk huruf ditulis terlalu condong.
  • Tiada keseragaman jarak antara huruf dengan huruf atau antara perkataan dengan perkataan.
  • Bentuk-bentuk huruf yang tidak jelas/ tepat/ betul.
  • Menulis tanpa mengikut garisan-garisan yang ditentukan.
  • Mencampur adukkan huruf besar dengan huruf kecil.
  • Masalah pembalikan huruf atau perkataan.
  • Huruf-huruf tidak ditulis mengikut posisi (kedudukan) yang sepatutnya.
  • Menulis dengan meninggalkan huruf, perkataan atau imbuhan.
  • Menulis melampaui garisan ruang muka surat yang ditentukan.
  • Menulis huruf-huruf dalam perkataan secara bertindih.
  • Mengulang garis-garis huruf yang ditulis.
  • Menulis mengikut arah dari kanan ke kiri.
  • Menulis huruf atau perkataan mengikut urutan yang salah.
  • Menulis atau menyalin ayat tanpa mengikut tertib yang betul.

Sunday, 21 April 2013

KAEDAH PENGAJARAN BAHASA MURID DISLEKSIA

Intervensi Pengajaran Bahasa


1. Ajar bahasa di dalam situasi.
Menagajar bahasa di dalam situasi yang diadakan akan membantu kanak-kanak memahami isi pelajaran dan seterusnya menguasai kemahiran bahasa yang diajar.Contohnya dalam tajuk 'Membantu ayah di kebun'.Guru boleh menggunakan kaedah bercerita atau main peranan. Perkenalkan nama-nama atau jenis-jenis sayur-sayuran yang ditanam.Umpamanya, sawi, bayam, bendi, buncis, terung dan seumpamanya.Berbantukan alat bantu belajar yang guru bina sesuai dengan aras murid, diharapkan murid-murid dapat menyebut suku kata dan perkataan dengan tepat.

2. Ikut urutan perkembangan bahasa normal.
Pengajaran bahasa hendaklah berdasarkan kemampuan berbahasa murid-murid mengikut peringkat umur mereka.

3. Guna strategi pengajaran yang khusus dan berkesan ketika memperkenalkan konsep baharu.
Pelbagai strategi pengajaran khusus boleh digunakan untuk mengajar murid-murid masalah pembelajaran seperti kaedah fonik dan sebagainya.

4. Bercakap tentang apa yang mereka fikir atau lakukan.
Murid-murid mesti dilatih bercakap dan menyampaikan buah fikiran mereka.Satu cara yang mudah untuk merangsang mereka bercakap adalah dengan meminta mereka bercakap tentang perkara yang sedang mereka fikirkan atau lakukan.

5. Terangkan apa yang orang lain lakukan.
Kemahiran menerang boleh ditingkatkan dengan cara meminta mereka menceritakan perkara yang dilakukan oleh orang lain.Menceritakan apa yang dilihat adalah lebih mudah dilakukan oleh murid-murid bermasalah pembelajaran.

6. Gunakan contoh yang betul untuk memberikan latihan bagi kemahiran bahasa yang khusus.
Menunjukkan contoh yang betul atau modeling digunakan supaya murid-murid dapat meniru kemahiran bacaan mekanis misalnya boleh diajar dengan cara guru menunjukkan cara bacaan yang betul atau menayangkan rakaman pembaca berita televisyen yang sedang membaca berita.

7. Gunakan aktiviti harian dalam menyediakan  latihan kemahiran-kemahiran bahasa dalam lingkungan konteksnya.
Aktiviti harian murid-murid sama ada di rumah atau di sekolah boleh dimanfaatkan untuk menyediakan pengalaman-pengalaman bahasa yang boleh mereka pelajari.Selain itu, aktiviti harian murid-murid juga boleh digunakan sebagai bahan atau tema pengajaran bahasa.   

Friday, 19 April 2013

CIRI-CIRI MURID-MURID DISLEKSIA

     Murid disleksia sekolah rendah dikategorikan sebagai murid bermasalah pembelajaran spesifik. Murid disleksia didefinisikan sebagai murid-murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi menghadapi kesukaran yang tinggi dalam menguasai kemahiran mengeja, membaca dan menulis. 
     Murid-murid ini bukan terdiri daripada mereka yang malas, nakal, mengalami gangguan emosi mahupun yang menghadapi masalah sosial. Akan tetapi bermasalah dalam menguasai kemahiran bahasa dan aritmetik.Ciri-ciri murid disleksia dapat dilihat dari segi fizikal, kecerdasan, emosi dan sosial. Antara ciri-ciri murid-murid disleksia adalah:

Murid-murid Disleksia prasekolah 


  • Kemahiran bertutur yang lambat dan sukar memahami arahan.
  • Suka mengganti perkataan dan hiperaktif.
  • Kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah.
  • Sering kali terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari.
  • Tidak merangkak semasa bayi.
  • Suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri.
  • Sifat ingin tahu yang tinggi, berminat terhadap perkara baharu, dan suka bertanya banyak perkara.


Murid-murid Disleksia Sekolah Rendah (6 - 9 tahun)


  • Kemahiran membaca, menulis, mengeja yang lemah serta suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor.
  • Menggunakan jari untuk mengira dan membaca.
  • Keliru dengan kiri dan kanan.
  • Tulisan cermin atau terbalik.


Murid-murid Disleksia Sekolah Rendah (9 - 12 tahun)


  • Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman.
  • Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan.
  • Kesukaran menyalin maklumat pada papan tulis atau buku teks.
  • Sukar mengikut arahan lisan yang panjang.
  • Kelihatan tidak terurus semasa berada di rumah atau di sekolah.
  • Kurang keyakinan dan menghadapi masalah tekanan jiwa.



Thursday, 11 April 2013

DEFINISI DISLEKSIA

Istilah disleksia berasal daripada dua perkataan Latin dan Greek, iaitu 'dys' yang membawa maksud 'kesukaran' dan 'lexis' yang bererti 'perkataan'. Menurut Mercer (1991), disleksia ialah ketidakupayaan yang teruk dalam membaca, melibatkan kesukaran dalam kefahaman serta perhubungan antara bunyi-bunyi dan huruf-huruf.Menurut Fadhilah Fitri (2009), perkataan disleksia berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud 'kesulitan untuk' dan 'huruf ' atau 'leksikal'.Choong Lean Keow (2009:158), dalam bukunya 'Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku' mendefinisikan disleksia sebagai kesukaran menggunakan perkataan yang dihadapi oleh murid yang mengalami kecelaruan bahasa.

Wednesday, 27 March 2013

SIAPA DIA MURID-MURID PENDIDIKAN KHAS

  • Murid-murid Pendidikan Khas atau juga dikenali murid-murid istimewa ialah murid yang mempunyai keperluan khas disebabkan oleh keadaan lahiriah, fikiran dan perasaan mereka yang luar biasa. 

  • Murid-murid ini mempunyai tingkah laku yang tersendiri mengikut jenis keluarbiasaan atau kecacatan yang dialami. 

  • Oleh itu, mengenal pasti tingkah laku murid merupakan satu daripada tugas guru yang perlu dititikberatkan. Guru yang berhadapan dengan murid yang berkeperluan khas terpaksa melalui pelbagai bentuk cabaran dan ini perlu diperbetulkan supaya situasi pembelajaran dapat berjalan seperti yang dirancang.

FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS


PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA ADALAH SUATU USAHA BERTERUSAN UNTUK MELAHIRKAN INSAN YANG BERKEMAHIRAN, BERHALUAN, BERUPAYA, BERIMAN, BERDIKARI, MAMPU MERANCANG DAN MENGURUSKAN KEHIDUPAN SERTA MENYEDARI POTENSI DIRI SENDIRI SEBAGAI SEORANG INDIVIDU DAN AHLI MASYARAKAT YANG SEIMBANG DAN PRODUKTIF SELARAS DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA.

FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS 
PPKI SK KAMPAR


Pendidikan Khas SK Kampar berusaha untuk melahirkan insan yang boleh berdikari, taat dan beriman, menyedari potensi diri sendiri dalam menjalani kehidupan seharian selaras dengan Falsafah Pendidikan Khas dan Falsafah Pendidikan Negara.